Jumaat, 7 November 2014

ar-Raudhah_Seruan Supaya Perempuan Menyembah Allah

al-Baqarah , 2:21

Inilah seruan kepada seluruh umat manusia, dari kaum lelaki juga perempuan, supaya menyembah Allah SWT yang telah menciptakan dan menuntut mereka untuk mengikhlaskan ibadah hanya kepadaNya.

Ibnu Mas'ud r.a bertanya kepada Rasulullah SAW,"Wahai Rasulullah, apakah dosa yang terbesar di sisi Allah?" Rasulullah SAW menjawab, "Engkau menyekutukan Allah, padahal Allah yang telah menciptakanmu." (Hadis Riwayat Bukhari Muslim).

Al-Harits Al-Asy'ari r.a berkata, Nabi SAW bersabda, "Sesungguhnya Allah SWT menyuruh Yahya bin Zakaria AS supaya mengerjakan lima perkara dan menyuruh Bani Israil untuk melakukannya, tetapi dia lambat menyampaikan  hal itu kepada Bani Israil, sehingga dia ditegur oleh Isa AS, "Sesungguhnya Allah telah menyuruh engkau melaksanakan lima perkara dan  menyuruh Bani Israil supaya melakukannya. Sekiranya engkau tidak dapat menyampaikannya, maka akulah yang akan menyampaikannya." Yahya menjawab, "Wahai saudaraku, aku berasa bimbang kalau engkau yang menyampaikannya maka aku akan diseksa dan dibinasakanNya." Lalu Yahya lantas mengumpulkan Bani Israil di Baitul Maqdis sehinggalah memenuhi ruangan masjid. Kemudian dia duduk di atas mimbar sambil berkata, "Allah telah menyuruh aku melakukan lima perkara : Pertama, hendaklah engkau menyembah Allah dan tidak menyekutukanNya. Kedua, Dia menyuruh engkau mengerjakan solat. Ketiga, Dia menyuruh engku berpuasa. Keempat,  Dia menyuruh engkau bersedekah. Dan kelima, Dia menyuruh engkau berzikir." Rasulullah SAW bersabda, "Dan Aku menyuruh engkau  melaksanakan lima perkara yang diperintahkan Allah kepadaku, iaitu bersatu (brjemaah), mendengar dan taat kepada pemimpin, berhijrah serta berjihad di jalan Allah. Sesungguhnya sesiapa yang  keluar dari Jama'atul Muslimin walau sejengkal sahaja, bererti dia telah melepaskan ikatan Islam dari lehernya. Dan sesiapa yang mengajak kembali kepada cara jahiliah, maka ia termasuk ahli Neraka Jahannam." Sahabat bertanya, "Wahai Rasulullah, walaupun dia solat dan puasa?" Nabi Muhammad SAW menjawab, "Walaupun dia solat, puasa dan mengaku muslim. Maka sebutlah golongan muslimin itu dengan apa yang telah ditentukan Allah SWT, Iaitu Al-Muslimin, Al-Mu'minin dan 'Ibadullah." (Hadis Riwayat Ahmad) . (Ibnu Kasir, Tafsir Al-Quranil 'Azim, 1996, Jilid 1:60-61).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan