Khamis, 6 November 2014

ar-Raudhah_al Quran Menjadi Petunjuk bagi Perempuan yang Bertaqwa

Al Baqarah (2;2)

Al-Quran juga merupakan petunjuk bagi orang yang bertakwa, tidak terkecuali bagi perempuan. Orang yang mahu mendapatkan petunjuk dari al-Quran harus terjalin dengannya dengan hati yang sihat, jernih, takut, waspada dan hati-hati. Ketika itulah al-Quran akan membuka pelbagai rahsia dan cahayanya pada hati orang yang bertakwa.

Diriwayatkan bahawa Umar bin Khattab r.a bersoal kepada Ubai bin Ka'ab tentang takwa. Ubay bertanya kembali kepada Umar, "Apakah engkau pernah melalui jalan berduri?".Umar menjawab, "Pernah". Ubay bersoal lagi, "Apa yang engkau lakukan?". Umar menjawab, "Aku berusaha sedaya upaya dan bersungguh-sungguh". Ubay bin Ka'ab berkata, "Itulah takwa". (Hadis Riwayat Al-Baihaqi).

Itulah hakikat takwa, iaitu kepekaan hati nurani, keheningan perasaan, rasa takut yang terus menerus, bersikap hati-hati dan waspada terhadap duri-duri jalan. Dalam menjalani kehidupan ini, sangat banyak tarikan duri-duri nafsu dan syahwat, duri-duri cita-cita dan angan-angan, duri-duri keresahan dan kegelisahan, duri-duri harapan palsu kepada orang yang sesungguhnya tidak mempunyai kemampuan untuk memenuhi harapan, duri-duri ketakutan palsu terhadap orang yang tidak mampu memberi manfaat atau bahaya dan masih banyak duri yang lain.

Perempuan yang bertakwa tidak akan mudah tergelincir disebabkan duri-duri kehidupan kerana benteng takwa telah menetapkan hatinya untuk mengambil dan menerima al-Quran sebagai petunjuk kehidupannya. (Sayyid Qutb, 2002, Fi Zilalil Quran, Jilid 1:64)

Qatadah berkata bahawa orang-orang yang bertakwa adalah orang-orang yang percaya kepada yang ghaib dan menunaikan solat.

Abu Rauq meriwayatkan dari Ad-Dahhak, dari Ibnu Abbas r.a mengenai 'hudal lil muttaqin', dia mengatakan bahawa mereka adalah orang-orang yang beriman yang menjauhkan diri dari kemusyrikan terhadap Allah dan sentiasa beramal dengan mentaatiNya. Dari At-Tiyah As-Sudi r.a. berkata, Rasulullah SAW bersabda, "Seorang hamba tidak akan sampai pada darjat takwa sehingga dia meninggalkan sesuatu yang makruh kerana bimbang akan terjerumus ke dalam dosa."(Hadis riwayat Tarmizi). (Ibnu Katsir, Tafsir al-Quran Al-'Azim, Jilid 1, 1996:42)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan